Tuesday 21 May 2013

Pengalaman terindah selepas menjadi guru pengamal teknik nabi

     Tanggal 16 Mei menjelang lagi. Seperti tahun lepas , sambutan tetap diadakan. Perkara yang membezakannya ialah tahun ini saya telah mula mengubah diri saya dari seorang  guru yang garang kepada guru yang penyayang dengan mengaplikasikan teknik nabi untuk menangani murid corot.
     Sejak awal pagi saya sibuk dengan persiapan sambutan hari guru sehingga terlupa untuk menjengah anak-anak 1 Wawasan.
      Setelah selesai , apabila murid berkumpul kelihatannya 3 orang daripada mereka tiada. Setelah ditanya dan dirisik di mana Izzati , Ayu dan Intan , rupanya mereka di dalam kelas. Saya telah meminta pertolongan Hawa murid tahun 6 untuk melihat adik tahun 1W di dalam kelas. Mereka menyorok di bawah meja cikgu. Saya terkejut memikirkan situasi ltu. Dengan tidak melengah masa saya langkahkan kaki ke kelas untuk melihat mereka. Apabila sampai di kelas saya lihat mereka menyorok di bawah meja. Saya panggil-panggil tetapi mereka tetap tidak mahu keluar. Namun saya panggil mereka dengan panggilan sayang dan saya pujuk akhirnya mereka keluar dari bawah meja tersebut.
      Saya cuba untuk mengaplikasikan teknik pejam mata pada kesalahan. Walaupun mereka tidak bersama-sama berkumpul di kantin tetapi saya percaya ada sebab mereka berbuat demikian.  Saya pandang wajah ketiga-tiganya. Izzati menyatakan kepada saya bahawa dia tidak membawa hadiah untuk guru ke sekolah. Seperti rasa bersalah dan sedih saya lihat. 
     Sayu hati melihat ketiga-tiganya. Saya kucup pipi ketiga-tiganya. Bagaimana harus saya tangani situasi ini.
Saya perlu menaikkan self-esteem mereka agar mereka tidak ada rasa rendah diri dan rasa terpinggir hanya gara-gara tidak membawa hadiah untuk guru ke sekolah pada sambutan Hari Guru.
   

  Saya katakan kepada mereka ,

        " Niat baik kamu mengingati Hari Guru dengan kamu datang ke sekolah ini pun cukup membuatkan cikgu rasa bangga dan kagum. Ini merupakan hadiah juga buat cikgu. Cikgu sayang kamu walaupun tiada hadiah buat cikgu. Dengan adanya kamu bersama cikgu meraikan Hari Guru sudah cukup buat cikgu sebagai hadiah".

      Mereka mula memberikan respon. Mereka mula tersenyum. Saya anggukkan kepala dan saya cium mereka. Saya tanyakan siapa yang nak pegang tangan cikgu untuk ke kantin. Mereka berebut untuk memegang tangan saya dan kami beriringan ke kantin untuk sambutan Hari Guru. Saya terharu dengan teknik nabi menjadikan saya cikgu yang lebih penyayang.

Wednesday 1 May 2013

 Pengalaman selama  empat tahun di sekolah banyak mengajar saya untuk berhadapan dengan pelbagai ragam murid. Setelah menamatkan pengajian di IPPM , saya telah ditempatkan di sebuah sekolah yang mempunyai murid berbilang kaum. Sungguhpun begitu  murid India lebih ramai bilangannya. Bulan yang pertama sungguh getir saya rasakan. Saya mula memikirkan cara yang sesuai untuk mengawal murid dalam kelas. Saya mengambil keputusan untuk guna cara yang agak kasar. Dengan rotan atau pembaris kayu di tanga , perwatakan saya juga mula berubah. Saya menjadi seorang yang pemarah dan bengis. Senyuman sudah tidak terukir di bibir. Stress yang dirasakan. Saban hari saya terus mencari teknik-teknik yang bersesuaian untuk menangani masalah dalam kelas .
  Setelah empat tahun berlalu , aku masih mencari-cari cara yang sesuai untuk mendidik anak-anak didikku. Sehinggalah pada awal tahun 2013 ku telah terbaca melalui FB tentang pengaplikasian teknik Nabi Muhammad untuk mendorong murid corot.